Muhammad Haziq Meninggal Dunia. Wisma Putra sahkan remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Wisma Putra menzahirkan ucapan takziah Kerajaan Malaysia kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia (di New Zealand) akan memberikan bantuan kepada keluarga dalam proses pengebumian jenazah Allahyarham.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Menteri akan ke Christchurch untuk mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian tragis ini,” katanya.
Wisma Putra juga memohon kerjasama pihak media dan orang ramai untuk menghormati perasaan ahli keluarga yang terbabit dalam tempoh yang sukar ini.
“Dimaklumkan bahawa keluarga Muhammad Haziq meminta ruang privasi untuk tidak dihubungi oleh media untuk sebarang komen atau temubual,” katanya.
Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.
Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Muhammad Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.
Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala bapa mereka parah ditembak.
Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu.
Selain Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas di sini dan Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.
Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand. -BH Online-
Al Fatihah untuk arwah dan Salam Takziah buat keluarga dari kami di BVT